
Vape Berperisa Dadah: Ketenangan Sementara, Tragedi Selamanya
Oleh: NURALIAA DIYANA
Penyunting: IRFAN HAIKAL
Sumber: Utusan Malaysia
Dalam dunia yang semakin terdedah kepada pelbagai bentuk hiburan dan manipulasi emosi, budaya menghisap vape kian bertukar daripada sekadar trend kepada ancaman kesihatan awam yang serius. Lebih membimbangkan, kemunculan vape yang mengandungi dadah seperti "mushroom vape" atau campuran bahan psikoaktif telah menyumbang kepada peningkatan kes jenayah, dan kecelaruan mental dalam kalangan masyarakat, terutamanya generasi muda.
Menurut data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hampir 600,000 remaja di bawah umur 18 tahun menggunakan vape, dengan 78% daripada mereka memilih produk berperisa, termasuk yang berpotensi dicampur bahan psikoaktif seperti LSD dan THC.
Tragedi yang berlaku pada 4 Disember 2024 di Felda Ayer Hitam, Kluang, Johor menjadi bukti jelas tentang bahaya yang tersembunyi di sebalik alat elektronik kecil. Antara kes yang pernah terjadi akibat “mushroom vape” adalah seorang pemuda berusia lingkungan 20-an telah bertindak di luar kawalan apabila menikam ibunya sendiri hingga maut selepas ditegur kerana menghisap vape yang dipercayai mengandungi bahan terlarang.
Mangsa, seorang wanita berusia 40-an, hanya bertujuan ingin menegur kelakuan anaknya demi kebaikan. Namun, tindak balas yang diterima bukan sahaja tragik, malah mengejutkan seluruh masyarakat. Suspek yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah bertindak agresif hingga sanggup membunuh ibu kandungnya sendiri dengan menikam di bahagian pinggang. Menurut kenyataan Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, suspek telah berjaya ditahan sejurus selepas kejadian berlaku.
Apa yang berlaku ini hanyalah satu daripada banyak kes yang berkait rapat dengan penyalahgunaan bahan melalui cara baharu seperti vape. Kesan “lalok”, halusinasi, paranoia, dan gangguan mental akibat bahan psikoaktif dalam vape jenis ini kini menjadi isu kesihatan mental yang semakin membarah, sekaligus menggugat keselamatan komuniti.
Vape tidak lagi sekadar isu perokok muda yang mencari alternatif kepada rokok konvensional. Sebaliknya, ia kini telah menjadi senjata baharu dalam krisis kesihatan awam yang sedang meningkat. Ramai pengguna terutama golongan muda, menyangka vape adalah alternatif lebih selamat berbanding rokok konvensional, tanpa menyedari kewujudan varian vape yang dicampur dadah sintetik, LSD atau THC.
Pihak berkuasa perlu bertindak lebih proaktif dalam membanteras penjualan vape tidak sah dan meningkatkan kesedaran awam tentang bahaya sebenar vape yang dicampur bahan terlarang. Begitu juga, peranan keluarga dan institusi pendidikan dalam memantau tingkah laku serta emosi anak-anak semakin penting dalam era moden ini.
Dalam perkembangan lain yang membimbangkan, seorang pelajar Tingkatan 4 di sebuah sekolah menengah di Kemaman dilaporkan mengalami sawan dan tidak sedarkan diri ketika berada di sekolah selepas dipercayai menghisap vape jenis 'magic mushrooms'. Menurut laporan Sinar Harian bertarikh 29 Julai 2024, mangsa rebah secara tiba-tiba kira-kira jam 10.30 pagi dan dikejarkan ke hospital oleh pihak sekolah setelah kejadian disedari oleh rakan-rakannya.
Kejadian ini menimbulkan persoalan besar mengenai akses mudah kepada vape bercampur bahan halusinogen dalam kalangan pelajar sekolah, serta kurangnya kawalan terhadap penjualan vape kepada remaja bawah umur. Lebih membimbangkan, kes ini berlaku di persekitaran institusi pendidikan, tempat yang sepatutnya menjadi ruang selamat untuk perkembangan mental dan fizikal pelajar.
Sebagai langkah pencegahan, sudah tiba masanya satu gerakan nasional digerakkan melalui kempen kesedaran yang menyeluruh mengenai bahaya penggunaan vape, khususnya jenis yang mengandungi bahan terlarang. Kempen ini harus melibatkan kerjasama antara Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, pihak berkuasa tempatan, dan juga NGO, agar mesej dapat disampaikan secara konsisten di sekolah, universiti, media sosial dan juga platform hiburan yang dekat dengan generasi muda. Pendedahan tentang kesan sebenar terhadap kesihatan mental dan fizikal harus dijelaskan dalam bentuk yang kreatif dan interaktif agar mudah difahami serta memberi kesan mendalam.
Pihak berkuasa juga perlu bertindak lebih proaktif dalam membanteras penjualan vape tidak sah serta meningkatkan operasi penguatkuasaan terhadap peniaga dan pengedar haram. Kempen kesedaran yang lebih menyeluruh perlu digerakkan bukan sahaja melalui saluran media, tetapi juga di institusi pendidikan, pusat komuniti dan keluarga. Pendidikan awal tentang bahaya dadah perlu disampaikan dalam bahasa yang mudah difahami dan berkesan, agar mesejnya benar-benar melekat dalam minda golongan muda.
Dalam masa yang sama, ibu bapa dan penjaga memainkan peranan penting dalam memantau perubahan tingkah laku dan emosi anak-anak. Persekitaran keluarga yang sihat, terbuka dan menyokong dapat membantu anak-anak menangani tekanan sosial dan emosi dengan lebih baik tanpa bergantung kepada bahan terlarang sebagai “jalan keluar”.
Kes-kes tragis seperti di Kluang dan Kemaman ini wajar menjadi peringatan besar kepada seluruh masyarakat. Kadangkala, pelarian emosi yang kelihatan “cool” pada mulanya boleh berakhir dengan tragedi yang kekal seumur hidup. Sudah tiba masanya masyarakat sedar bahawa bahaya yang terkandung dalam vape bukan sekadar asap yang hilang di udara, tetapi boleh menjadi racun yang memusnahkan masa depan.
Mengenai kami
Nadi Bangi adalah portal akhbar makmal Program Komunikasi Media, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sebarang pandangan atau kandungan yang disiarkan tidak mewakili UKM. Ditubuhkan dengan objektif untuk menjadi suara warga kampus, Nadi Bangi menyajikan laporan berita, rencana khas, serta pandangan kritis berkenaan isu semasa yang berlaku di dalam dan luar kampus.