
Tuak, Warisan Tradisi Keluarga Rasa dari Sarawak
6 APRIL 2025
Oleh: LUQMAN HAKIM ZULKIFLI
Penyunting: QURRATU AIN BUJANG
Pengasas The Rasa Family Margaret Dobin Rasa bersama produk tuaknya. — Foto: The Rasa Family
Tuak, sejenis minuman beralkohol berasaskan beras, telah menjadi satu tradisi masyarakat di Sarawak sejak berzaman lamanya. Minuman ini bukan sahaja dikenali kerana rasanya yang unik, tetapi juga kerana nilai kebudayaannya yang mendalam. Tuak sering dihidangkan ketika majlis keramaian, perayaan seperti Gawai Dayak, serta upacara adat tertentu. Ia diminum oleh pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira status sosial, dan merupakan simbol hospitaliti serta keakraban dalam komuniti.
Namun begitu, dalam arus kemodenan hari ini, tradisi pembuatan tuak kian pudar, khususnya dalam kalangan generasi muda. Ramai anak muda tidak lagi mewarisi kemahiran menapai tuak, sama ada disebabkan oleh kekangan masa, perubahan gaya hidup, atau kurangnya pendedahan terhadap budaya nenek moyang. Menyedari hakikat ini, Margaret Dobin Rasa bersama cucunya, Martiana Chia, mengambil inisiatif untuk mengekalkan tradisi keluarga mereka yang telah bertahan selama lebih kurang 150 tahun. Mereka memulakan perniagaan bernama Tuak by The Rasa Family sebagai usaha meneruskan legasi ini.
Margaret Dobin Rasa dan cucunya Martiana Chia. — Foto: The Rasa Family
Bagi keluarga Rasa, tuak bukan sekadar minuman. Ia adalah satu bentuk warisan yang menghubungkan generasi ke generasi. Ia membawa cerita, kenangan, dan nilai kekeluargaan yang tidak ternilai. Martiana menyatakan bahawa bagi mereka, tuak ialah masa bersama keluarga – saat-saat berbual sambil menunggu proses penapaian selesai, dan detik-detik berkongsi kisah lama sambil menikmati hasil tangan sendiri. Oleh itu, Tuak by The Rasa Family bukan bertujuan untuk mencipta sesuatu yang baharu, tetapi untuk melestarikan dan berkongsi tradisi sedia ada dengan masyarakat moden.
Produk tuak keluaran The Rasa Family. — Foto: The Rasa Family
Dalam menyesuaikan diri dengan cita rasa kontemporari, Martiana dan keluarganya tetap berpegang teguh kepada akar tradisi. Mereka memastikan setiap proses dijalankan mengikut cara lama, dengan sedikit penyesuaian dari segi kebersihan dan pembungkusan agar lebih sesuai untuk pasaran komersial. Proses penapaian masih dilakukan secara tradisional di rumah mereka, menggunakan ramuan semula jadi seperti herba terpilih dan buah-buahan tempatan. Mereka menolak penggunaan pewarna dan perisa tiruan kerana percaya pada keaslian rasa.
Namun, untuk menghasilkan tuak secara komersial bukanlah sesuatu yang mudah. Martiana mengakui bahawa salah satu cabaran utama adalah memastikan kualiti tuak tetap konsisten apabila dihasilkan dalam skala yang lebih besar. Berbeza dengan pengeluaran kilang, mereka masih bergantung kepada suhu dan cuaca semula jadi, yang boleh mempengaruhi rasa dan hasil akhir. Justeru, mereka perlu lebih teliti dalam setiap langkah penghasilan bagi mengekalkan mutu dan keaslian rasa tuak mereka.
Dari segi rasa, tuak keluaran The Rasa Family tidak terlalu manis, berbanding sesetengah produk lain di pasaran yang menggunakan gula tambahan atau bahan tiruan. Mereka lebih memilih pendekatan semula jadi agar rasa tuak yang dihasilkan mengekalkan ciri-ciri tradisional. Tambahan pula, mereka tidak bercadang untuk menghasilkan variasi atau perisa tambahan buat masa ini. Fokus mereka adalah terhadap satu resipi istimewa keluarga yang telah diwariskan secara turun-temurun, yang menjadi identiti unik jenama mereka.
Menariknya, sambutan terhadap tuak keluaran mereka sangat menggalakkan, terutamanya daripada pelanggan luar Sarawak. Malah, permintaan dari luar lebih memberangsangkan berbanding pasaran tempatan. Martiana menjelaskan bahawa ini mungkin kerana komuniti Dayak di Sarawak sendiri lebih cenderung untuk menapai tuak mereka secara tradisional di rumah, jadi keperluan membeli tuak tidak begitu mendesak. Sebaliknya, masyarakat luar yang ingin mencuba atau mengenali budaya Sarawak lebih terbuka untuk mencuba tuak sebagai satu pengalaman baharu.
Dalam usaha untuk memperluaskan capaian produk mereka, The Rasa Family turut membekalkan tuak kepada beberapa restoran dan kafe yang menawarkan makanan berasaskan budaya tempatan dan etnik. Ini bukan sahaja membantu memperkenalkan tuak kepada khalayak yang lebih luas, tetapi juga sebagai cara untuk memperkukuhkan imej budaya Dayak dalam industri makanan dan minuman.
Martiana turut berkongsi bahawa pembuatan tuak ini memberi ruang kepada neneknya untuk terus aktif melakukan sesuatu yang beliau sukai. Setiap langkah dalam proses itu membawa kenangan dan semangat, menjadikannya satu aktiviti yang bukan sahaja bermakna, tetapi juga menyatukan ahli keluarga. Beliau berharap selagi The Rasa Family masih wujud, mereka dapat menjaga dan menghormati tradisi ini dengan sepenuh hati.
Bagi mereka, tuak adalah lebih daripada sekadar produk. Ia adalah lambang keteguhan budaya, nilai keluarga, dan warisan yang tidak ternilai. Dalam dunia yang semakin moden, usaha seperti ini amat penting untuk memastikan kebudayaan tradisional tidak pupus ditelan zaman, sebaliknya terus hidup dan dinikmati oleh generasi akan datang.
Mengenai kami
Nadi Bangi adalah portal akhbar makmal Program Komunikasi Media, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sebarang pandangan atau kandungan yang disiarkan tidak mewakili UKM. Ditubuhkan dengan objektif untuk menjadi suara warga kampus, Nadi Bangi menyajikan laporan berita, rencana khas, serta pandangan kritis berkenaan isu semasa yang berlaku di dalam dan luar kampus.