
Trend ‘Ghiblify’: Adakah Lukisan Tangan Kekal Bernilai di Era AI?
Oleh: NG AIWEN
Penyunting: SIVAVARTINI A/P RAMENDRAN
Gambar yang menunjukkan trend Ghiblify di platform media sosial (Sumber: Astro Gempak, Google)
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, platform media sosial dibanjiri dengan gambar comel bergaya kartun yang dikenali sebagai gambar Ghibli. Fenomena ini yang dikenali sebagai ‘Ghiblification’ yang berlaku apabila ramai pengguna memuat naik gambar mereka yang telah diubah suai kepada gaya animasi tersebut. Ia mencetuskan gelombang minat baharu terhadap seni bergaya Ghibli,
lebih-lebih lagi semasa musim Hari Raya, apabila ramai mengambil peluang memuat naik gambar Raya versi Ghibli mereka bersama ahli keluarga, lengkap dengan suasana rumah kampung dan semuanya dalam gaya animasi yang menarik perhatian. Namun begitu, kebanyakan gambar ini sebenarnya dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Bagi mengikuti trend ini, orang ramai telah mengambil kesempatan dengan menggunakan ciri baharu iaitu penjana imej GPT-4o yang diperkenalkan oleh OpenAI di dalam ChatGPT. Melalui alat ini, pengguna hanya perlu memasukkan prompt seperti “menukarkan gambar ini kepada style Ghibli anime” dan imej yang bergaya Ghibli akan terhasil dalam beberapa saat sahaja. Kecanggihan teknologi ini memudahkan ramai untuk menjana karya bergaya Ghibli tanpa memerlukan kemahiran seni yang mendalam.
Trend Ghiblification yang muncul secara tiba-tiba ini turut mencetuskan kontroversi. Hal ini disebabkan ia telah menyebabkan peningkatakan besar terhadap permintaan perkhidmatan ChatGPT, sehingga memaksa OpenAI mengenakan had sementara terhadap pengguna. CEO OpenAI, Sam Altman, turut mengakui bahawa permintaan luar biasa ini telah menyebabkan gangguan terhadap sistem mereka, dan pihaknya sedang berusaha untuk meningkatkan kapasiti mereka agar dapat memenuhi keperluan pengguna.
Antara anime terkenal yang diterbitkan oleh Studio Ghibili (Sumber: Google)
Untuk makluman umum, Studio Ghibli merupakan sebuah studio animasi terkenal dari Jepun yang diasaskan oleh Hayao Miyazaki dan Isao Takahata pada tahun 1985. Studio ini telah menghasilkan filem-filem terkenal seperti Spirited Away, My Neighbor Totoro, dan Howl’s Moving Castle, sehingga mendapat gelaran “Walt Disney dari Jepun.” Apa yang membezakan Studio Ghibli dengan studio animasi lain adalah pendekatan mereka yang lebih tradisional, iaitu animasi dilukis dengan tangan, bukan dihasilkan sepenuhnya oleh komputer. Ia bukan sekadar gaya visual, tetapi mengandungi falsafah hidup, mesej kemanusiaan, dan nilai budaya yang mendalam.
Berdasarkan konteks tersebut, persoalan yang timbul ialah tentang keaslian seni dan isu hak cipta. Kemunculan teknologi AI kini membolehkan sesiapa sahaja meniru gaya ini dengan mudah. Apabila gaya yang unik ini digunakan tanpa kebenaran oleh pihak luar, apatah lagi untuk tujuan komersial seperti cetakan berbayar atau bahan pemasaran. Penggunaan karya seni oleh AI tanpa penglibatan atau kebenaran artis asal mengundang persoalan serius tentang masa depan kesenian manusia.
Ini adalah sedih apabila melihat bagaimana hasil usaha artis yang mengambil masa berjam-jam di depan papan lukis, kini dapat dijana oleh AI dalam beberapa saat sahaja. Ini mencerminkan betapa besarnya ancaman terhadap kesenian manusia apabila kreativiti digantikan oleh prompt sahaja. Kita bukan sahaja kehilangan proses, malah kehilangan nilai seni itu sendiri. Seni bukan hanya tentang produk akhir, tetapi juga tentang perjalanan dan pengalaman emosi bagi seseorang pengkarya. Daripada cetusan idea hingga ke sentuhan terakhir pada lukisan, setiap saat itu adalah proses yang mendalam dan peribadi.
“I strongly feel that it is an insult to life itself.” – Hayao Miyazaki.
Petikan ini diungkapkan oleh Miyazaki selepas beliau melihat animasi AI yang menggambarkan pergerakan watak yang pelik dan menjijikkan. Beliau menyatakan bahawa, animasi tersebut gagal memahami kesakitan serta kepekaan manusia, sekaligus mencemarkan kesucian kehidupan itu sendiri.
Pada pandangan saya, saya percaya bahawa setiap karya seni membawa makna yang tersendiri. Seorang pengkarya bukan hanya ingin menghasilkan sesuatu yang cantik dilihat mata, tetapi juga sesuatu yang menyentuh hati, menyampaikan mesej, dan menggerakkan jiwa. Seni tidak boleh dipisahkan daripada manusia. AI mungkin boleh meniru bentuk, warna, dan komposisi — tetapi ia tidak memiliki niat, jiwa, atau pengalaman. Gaya Ghibli lahir daripada falsafah hidup penciptanya, bukan sekadar gaya visual semata-mata. Maka, karya AI yang menyerupainya hanyalah tiruan luaran yang kosong dan tanpa makna sebenar.
Namun, penting juga untuk ditegaskan bahawa AI bukanlah musuh. Ia adalah alat, dan seperti mana-mana alat lain, ia bergantung kepada bagaimana kita menggunakannya. Jika digunakan secara beretika dan bertanggungjawab, AI boleh membantu artis sebenar menjimatkan masa, mencetuskan idea baharu dan mempercepatkan kerja teknikal. Tetapi, cabaran utama terletak pada kesedaran dan etika pengguna, khususnya apabila seseorang menggunakan teknologi ini tanpa memberi kredit atau tidak memahami nilai seni yang ditiru.
Kesimpulannya, dalam dunia yang semakin dikuasai mesin, seni manusia tetap memiliki nilai yang tidak boleh ditandingi. Gaya Ghibli bukan hanya animasi, ia adalah
cerminan jiwa manusia, kisah hidup, dan kepekaan yang halus. Kita sebagai pengguna dan pencipta seni perlu memainkan peranan — menghargai proses kreatif, mempertahankan nilai seni, dan memastikan bahawa teknologi menjadi pelengkap kepada seni manusia, bukan pengganti sepenuhnya.
Mengenai kami
Nadi Bangi adalah portal akhbar makmal Program Komunikasi Media, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sebarang pandangan atau kandungan yang disiarkan tidak mewakili UKM. Ditubuhkan dengan objektif untuk menjadi suara warga kampus, Nadi Bangi menyajikan laporan berita, rencana khas, serta pandangan kritis berkenaan isu semasa yang berlaku di dalam dan luar kampus.