Semangat Sukarelawan Pelajar UKM Bantu Mangsa Tragedi Putra Heights

7 APRIL 2025 

Oleh: ZULAIKHA SIDEK

Penyunting:  YASMIN AZIZAN

Mahasiswa turun padang membantu mangsa tragedi Putra Heights di PPS Masjid Putra Heights - Foto BERNAMA 

Bangi - Seramai 40 orang sukarelawan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi Skuad Insan Madani di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang terdiri daripada pelajar dan kakitangan UKM telah hadir ke Masjid Putra Heights bagi menyampaikan pelbagai bentuk bantuan ekoran tragedi letupan paip gas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) walaupun masih dalam tempoh cuti raya Aidilfitri. 

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Kemanusiaan KMUKM, Aisy Hafiy Mohd Mokhtar (Sarjana Pendidikan, 2), yang juga menjadi pasukan sukarelawan UKM menyifatkan bahawa kerjasama yang diberikan oleh semua sukarelawan adalah amat baik dan menyebabkan proses mengedarkan barangan keperluan yang diberikan oleh NGO seperti makanan, minuman, pakaian, lampin bayi, susu bayi, barangan peribadi dan banyak lagi kepada mangsa-mangsa dapat dijalankan dengan cekap dan lancar. 

“Di sana, kami melakukan tugas yang diarahkan oleh penyelaras zon serta membantu agensi-agensi kerajaan untuk mengangkat, menyusun dan mengedarkan barang-barang keperluan hasil sumbangan daripada masyarakat setempat, agensi-agensi kerajaan, NGO dan ramai lagi kepada mangsa-mangsa tragedi ini.

“Bagi kerjasama antara semua sukarelawan pula, memang bagus sebab kami saling memahami satu sama lain dan pada masa yang sama hubungan antara kami semua semakin erat kerana semua rajin untuk melakukan kerja tanpa berkira sampai ada sukarelawan yang masuk ke dapur di bahagian belakang masjid sebab semangat ingin membantu orang ramai yang berada di situ,” katanya. 

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) itu turut berkata, mereka juga disertai sukarelawan daripada Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) lain seperti Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di bawah penyeliaan Majlis Sukarelawan Universiti Malaysia (MASKUM). 

Beliau turut menyatakan bahawa perkhidmatan kaunseling turut disediakan bagi membantu para pelajar yang merupakan mangsa tragedi ini dalam usaha membantu menaikkan semangat mereka semula dalam menuntut ilmu. 

“Pihak sukarelawan daripada UKM turut menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada pelajar-pelajar dengan membantu mereka supaya tragedi ini tidak mengganggu pelajaran mereka dan kami juga turut membawa pegawai-pegawai daripada Hal Ehwal Pelajar UKM (HEP-UKM) serta pegawai akademik untuk membantu pelajar-pelajar ini sekiranya mereka mempunyai sebarang peperiksaan dan tidak tahu untuk buat apa-apa, kami akan cuba bantu selesaikan masalah tersebut dengan menangguhkan peperiksaan mereka atau sebagainya,” katanya kepada Nadi Bangi. 

“Terdapat juga seorang pelajar UKM yang merupakan mangsa bagi tragedi ini, namun pada masa yang sama dia turut menjadi seorang sukarelawan yang mewakili UKM,” katanya lagi. 

Menurutnya lagi, semangat sukarelawan pelajar UKM yang ditimpa bencana itu membuatkan dirinya amat terharu kerana walaupun pelajar itu sendiri ditimpa kesusahan tapi niatnya ingin membantu orang lain masih lagi kuat dan ini jelas menunjukkan bahawa semangat sukarelawan dalam kalangan pelajar UKM amat tinggi dan bagus sekali. 

“Dalam agama ada menyatakan sebaik-baik manusia adalah manusia yang memanfaatkan orang lain dan saya berpegang kepada kata-kata itu dan saya bukanlah orang yang baik tetapi motivasi saya adalah kalau bukan saya nak tolong siapa lagi yang nak tolong,” katanya.

Mengulas lanjut, Aisy Hafiy Mohd Mokhtar berkata, walaupun ada orang lain yang boleh sahaja menolong dan ada yang ingin menolong tapi tidak mampu atau tidak berkesempatan, namun dirinya tetap ada untuk membantu mereka yang memerlukan kerana beliau tetap berpegang teguh kepada motivasinya.


Mengenai kami

Nadi Bangi adalah portal akhbar makmal Program Komunikasi Media, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sebarang pandangan atau kandungan yang disiarkan tidak mewakili UKM. Ditubuhkan dengan objektif untuk menjadi suara warga kampus, Nadi Bangi menyajikan laporan berita, rencana khas, serta pandangan kritis berkenaan isu semasa yang berlaku di dalam dan luar kampus.