
Sarang Lebah Tumpang Berteduh di Siling Bilik Tidur
8 APRIL2025
Oleh: SYAKIRAH FAUZI
Penyunting: MASMIRA JEFRI
Sumber: Nazurah Nizam
BANGI - Seorang pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berdepan detik cemas apabila menemui sekumpulan lebah bersarang di dalam bilik penginapannya di Kolej Tun Hussein Onn (KTHO), malam semalam.
Mangsa Nazurah Nizam (Sarjana Muda Sains dengan Kepujian Sains Makanan dengan Pengurusan Perniagaan, Tahun 3) mengaku insiden itu disedari sekitar jam 10.50 malam ketika beliau baru pulang ke biliknya untuk berehat.
“Bila balik bilik mula-mula saya tak perasan, tapi pelik sebab atas lantai ada macam serangga. Tak tengok betul-betul serangga apa, tiba-tiba nampak kat siling ada benda hitam bergerak-gerak. Saya pun terus jerit minta tolong dengan kawan aras yang sama,” katanya ketika dihubungi.
Selepas kejadian itu, pelajar tersebut segera membuat laporan kepada Ketua Eksekutif Majlis Eksekutif Pelajar (MEP) Kolej Tun Hussein Onn iaitu Ahmad Dinie, kemudiannya memaklumkan perkara tersebut kepada Felo Blok, sebelum tindakan lanjut diambil dengan memanggil pasukan penyelenggaraan Wisma Aman (Keselamatan-UKM). Pihak Wisma Aman telah menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Bangi bagi menangani situasi berkenaan.
Pihak bomba tiba di lokasi dan bertindak memusnahkan sarang lebah tersebut dengan kaedah pembakaran terkawal bagi mengelakkan sebarang risiko kepada penghuni kolej.
Insiden tersebut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelajar, khususnya dari segi aspek keselamatan dan kebersihan di kawasan penginapan pelajar.
Pihak kolej dan pengurusan universiti disarankan untuk terus memantau keadaan sekitar serta melakukan pemeriksaan berkala bagi mengelakkan kejadian serupa berulang lagi.
Mengenai kami
Nadi Bangi adalah portal akhbar makmal Program Komunikasi Media, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sebarang pandangan atau kandungan yang disiarkan tidak mewakili UKM. Ditubuhkan dengan objektif untuk menjadi suara warga kampus, Nadi Bangi menyajikan laporan berita, rencana khas, serta pandangan kritis berkenaan isu semasa yang berlaku di dalam dan luar kampus.