Permainan Gasing Pangkah Ditelan Zaman

Oleh: IRFAN HAIKAL

Penyunting: NURALIAA DIYANA

Di sebalik arus pemodenan dan perkembangan dunia digital masa kini,  permainan tradisional yang dahulunya menjadi kesukaan komuniti kini semakin  dilupakan. Salah satu daripada warisan berharga ini ialah gasing pangkah,  sebuah permainan rakyat yang bukan sahaja mencerminkan seni dan  kemahiran, tetapi juga nilai budaya serta perpaduan masyarakat Melayu.

Salah satu corak dan jenis Gasing Pangkah

Rencana “Gasing Pangkah, Permainan yang Dimakan Zaman” membuka mata  orang ramai terhadap keindahan dan keunikan permainan ini, yang kini  berhadapan risiko pupus ditelan masa. Melalui wawancara, rakaman permainan dan paparan suasana kampung, rencana ini mengetengahkan realiti yang penting tentang bagaimana perubahan zaman telah menghakis minat generasi  muda terhadap permainan warisan ini sambil di bawakan khas oleh Zulkarin Esa,  Pengusaha Gasing Warisan Melayu. 

ASAL-USUL DAN MAKNA BUDAYA GASING PANGKAH 

Gasing pangkah bukan sekadar permainan ia adalah satu simbol kepada  kekuatan fizikal, strategi dan semangat berpasukan. Dalam konteks budaya  Melayu tradisional, permainan ini sering diadakan sempena musim menuai,  kenduri kampung, atau sambutan perayaan. Ia menjadi medium penting dalam  menyatukan masyarakat, tanpa mengira usia.

Gasing itu sendiri diperbuat daripada kayu terpilih dan dibentuk secara teliti oleh  tukang yang mahir. Setiap bentuk gasing membawa kelebihan tertentu dari segi  keseimbangan, ketahanan ketika berpusing, dan impak apabila melanggar  gasing lawan. Dalam permainan pangkah, matlamat utama bukan hanya untuk  memusingkan gasing paling lama, tetapi untuk memangkah atau menewaskan  gasing pihak lawan sehingga keluar dari bulatan permainan. 

Zulkarin menunjukkan proses pembuatan gasing yang dipelajarinya sendiri

PEWARIS GASING PANGKAH DI LABIS, JOHOR

Zulkarin menunjukkan gasing kegemaran beliau bagi acara pertandingan

Zulkarin Esa merupakan salah seorang individu yang gigih memperjuangkan  kelestarian permainan tradisional gasing pangkah di daerah Labis, Johor.  Berusia dalam lingkungan awal 50-an, beliau telah berkecimpung dalam dunia  gasing sejak usia remaja lagi dan kini menjadi antara tokoh tempatan yang  masih aktif dalam permainan ini. Berasal dari keluarga yang turut mengamalkan  budaya bermain gasing, minat beliau telah berkembang daripada hobi menjadi  satu tanggungjawab untuk memelihara warisan turun-temurun ini. Sebagai anak  jati Johor, beliau menjadikan aktiviti penghasilan gasing sebagai satu seni halus  yang memerlukan ketelitian, kesabaran dan pemahaman mendalam terhadap  jenis kayu, bentuk serta imbangan gasing itu sendiri. 

Dengan pengalaman lebih tiga dekad dalam dunia gasing, Zulkarin bukan sahaja  mahir dalam teknik permainan tetapi juga aktif membimbing generasi muda di  sekitar Labis. Beliau kerap terlibat dalam penganjuran dan penyertaan  pertandingan gasing pangkah peringkat daerah, serta menjadi tenaga pengajar  dalam bengkel permainan tradisional anjuran sekolah dan persatuan  kebudayaan. Dalam wawancara yang dirakam, semangatnya terpancar jelas  apabila beliau menekankan pentingnya kesinambungan permainan ini di tangan  generasi baharu. Baginya, gasing bukan sekadar permainan, tetapi satu bentuk  jati diri dan nilai murni masyarakat Melayu yang wajar dipelihara. Usaha beliau  menjadikan beliau sebagai antara pewaris budaya yang harus dihargai dan  disokong oleh semua lapisan masyarakat. 

Koleksi beberapa jenis gasing yang dihasilkan oleh Encik Zulkarin

KEMEROSOTAN MINAT DAN CABARAN WARISAN 

Antara isu utama yang diketengahkan dalam wawancara oleh Zulkarin ialah  kemerosotan minat dalam kalangan generasi muda. Budaya gajet, permainan  video dan media sosial telah mengambil tempat permainan fizikal seperti gasing.  Ramai remaja hari ini tidak mengenali atau tidak pernah mencuba permainan ini  walaupun mereka tinggal di kampung yang pernah aktif dengan permainan  tradisional. 

Tokoh permainan gasing yang ditemubual turut menyuarakan kebimbangan  beliau. Beliau meluahkan rasa sedih apabila melihat hanya segelintir belia yang  terlibat dalam latihan atau pertandingan gasing. Bahkan, ada yang menyatakan  bahawa hanya orang-orang lama atau ‘veteran’ sahaja yang masih aktif. Tanpa  usaha bersungguh-sungguh dari pelbagai pihak, dikhuatiri permainan ini akan  lenyap sepenuhnya dalam masa terdekat. 

PERLUNYA INISIATIF PEMULIHARAAN 

Dalam usaha menghidupkan semula permainan gasing pangkah, beberapa  cadangan telah diketengahkan oleh Zulkarin. Antaranya termasuk mengadakan  bengkel penghasilan gasing di sekolah, penganjuran pertandingan peringkat  daerah dan negeri, serta integrasi permainan ini dalam aktiviti kokurikulum.  Malah, wawancara ini turut menunjukkan inisiatif beberapa persatuan warisan  budaya yang cuba menarik minat pelajar melalui demonstrasi dan pertandingan  mini. 

Encik Zulkarin mengajarkan cara bermain gasing kepada orang awam.

Kejayaan pemuliharaan memerlukan sokongan padu daripada pelbagai pihak  termasuk kerajaan negeri, kementerian kebudayaan, NGO serta penglibatan aktif  ibu bapa dan guru. Hanya melalui kerjasama menyeluruh barulah warisan seperti  gasing pangkah dapat dikekalkan untuk tatapan generasi akan datang. 

Encik Zulkarin mengajarkan cara bermain gasing kepada orang awam.

“Gasing Pangkah, Permainan yang Dimakan Zaman” bukan sekadar  dokumentari nostalgia, tetapi satu seruan penting untuk bertindak. Ia  membangkitkan rasa tanggungjawab kita sebagai masyarakat untuk memelihara  seni dan budaya warisan agar tidak terus terhapus. Dalam dunia yang semakin  laju dan canggih, nilai-nilai murni seperti kerjasama, kesabaran dan semangat  juang yang terkandung dalam permainan tradisional ini masih relevan dan perlu  dipertahankan.

Mengenai kami

Nadi Bangi adalah portal akhbar makmal Program Komunikasi Media, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sebarang pandangan atau kandungan yang disiarkan tidak mewakili UKM. Ditubuhkan dengan objektif untuk menjadi suara warga kampus, Nadi Bangi menyajikan laporan berita, rencana khas, serta pandangan kritis berkenaan isu semasa yang berlaku di dalam dan luar kampus.