
Penangan raya, stesen minyak Petronas kehabisan bekalan petrol
1 APRIL 2025
Oleh: MASMIRA JEFRI
Penyunting: SYAKIRAH FAUZI
Stesen Minyak Petronas, Kunak (sumber : Facebook Orang Kunak)
KUNAK - Permintaan tinggi terhadap pembelian petrol pada musim Hari Raya Aidilfitri telah menyebabkan satu daripada dua stesen minyak di daerah Kunak, Sabah kehabisan bekalan petrol pada hari raya kedua.
Situasi itu mula dilaporkan sejak awal pagi tadi ketika semua pengguna jalan raya terpaksa membeli petrol daripada stesen minyak Petron dan telah menyebabkan kesesakan lalu lintas kerana pengguna hanya tertumpu kepada satu-satunya stesen minyak yang tinggal di daerah tersebut.
Menurut seorang pengguna, Mansur Abdullah, dia ingin mengisi minyak sebelum memulakan perjalanan ke Tawau dan dimaklumkan mengenai kehabisan bekalan petrol semasa sedang menunggu giliran.
“Ada dalam 10 minit menunggu lepas tu diberitahu yang bekalan habis. Jadi terpaksa pergi ke Petron.“ Laluan jadi sesak sebab semua kereta terpaksa isi minyak di situ. Stesen Petron lebih kecil jadi lagi sesak dengan kereta,” katanya.
Pengguna lain ada yang turut meluahkan rasa kesal melalui muat naik di laman media sosial seperti Facebook dan WhatsApp. Mereka terpaksa menunggu lama namun tidak dapat mengisi minyak dan perlu beratur di stesen minyak yang lebih kecil disebabkan tiada pilihan lain.
Namun, kesesakan itu mula reda pada waktu petang. Difahamkan lori yang membawa bekalan petrol untuk stesen minyak Petronas telah tiba di stesen berkenaan dan stesen mula beroperasi semula.
Mengenai kami
Nadi Bangi adalah portal akhbar makmal Program Komunikasi Media, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sebarang pandangan atau kandungan yang disiarkan tidak mewakili UKM. Ditubuhkan dengan objektif untuk menjadi suara warga kampus, Nadi Bangi menyajikan laporan berita, rencana khas, serta pandangan kritis berkenaan isu semasa yang berlaku di dalam dan luar kampus.