
OTM 2025 Kembali Semarakkan Muzik Tradisional di Panggung Seni
7 APRIL 2025
Oleh: EZZA NUR AZIRA
Penyunting: NUR SOLEHA
Latihan persembahan di bawah bimbingan Cikgu Ku Zahir Ku Ahmad, yang juga merupakan tenaga pengajar dan penyelaras Program Asuhan Seni di Istana Budaya
BANGI – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sekali lagi menganjurkan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) pada 18 April dengan melibatkan seramai 23 orang ahli gamelan, bertempat di Panggung Seni, UKM dengan menampilkan pelbagai elemen muzik tradisional yang digabungkan dalam satu persembahan.
Sesi latihan pelajar yang terlibat bermula Isnin, 7 April, bersama gabungan muzik daripada caklempong, band moden dan orkestra tradisional Cina untuk menjadikan program ini sebagai medan pertembungan budaya yang harmoni dan berinspirasi.
Menurut Nur Husna Aisyah Mohammad Hayazi (Sarjana Muda Sains Forensik, 2), selaku Ketua Program OTM 2025, program ini bukan sahaja memberi ruang kepada mahasiswa untuk berkarya, malah turut menyemai rasa cinta terhadap muzik tradisional.
“Antara cabaran utama dalam penganjuran kali ini ialah kekangan masa dan komitmen pemain untuk menghadiri latihan.
“Namun, semangat dan kerjasama yang ditunjukkan oleh semua pihak sangat membanggakan,” ujar beliau.
Beliau turut menyatakan harapannya agar program ini menjadi wadah bagi memperluas kefahaman dan penghargaan mahasiswa terhadap seni muzik tradisional negara.
Program OTM yang pernah dianjurkan pada kali pertama pada tahun 2023 telah mendapat sambutan yang menggalakkan termasuk kehadiran artis terkenal seperti Shiha Zikir dan Putera Muhammad.
Penganjuran OTM kali kedua pada tahun ini, dijangka mengulangi kejayaan lalu serta membawa impak yang lebih besar dalam mengangkat martabat seni budaya di peringkat institusi pengajian tinggi.
Mengenai kami
Nadi Bangi adalah portal akhbar makmal Program Komunikasi Media, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sebarang pandangan atau kandungan yang disiarkan tidak mewakili UKM. Ditubuhkan dengan objektif untuk menjadi suara warga kampus, Nadi Bangi menyajikan laporan berita, rencana khas, serta pandangan kritis berkenaan isu semasa yang berlaku di dalam dan luar kampus.