Minum Kopi, Budaya atau Trend?

Oleh: EZZA NUR AZIRA

Penyunting: SHARIFUDDIN HAIKAL

sumber; https://prolegal.id/bisnis-coffee-shop-atau-kedai-kopi/  

Budaya minum kopi dalam kalangan remaja hari ini sudah berubah menjadi satu fenomena yang kadangkala menimbulkan persoalan. Jika dahulu, kopi hanya popular dalam kalangan orang dewasa atau pada mereka yang benar-benar menghargai rasa dan aroma, kini ia telah menjadi simbol gaya hidup dalam kalangan anak muda lebih-lebih lagi di media sosial. Ramai yang sanggup masuk ke kafe mahal semata-mata untuk mengambil gambar ‘posing’ bersama secawan kertas berjenama, bukan kerana minat atau mempunyai pengetahuan mengenai perbezaan kopi latte dengan kopi O. Malah, ada yang baru pertama kali minum kopi tapi sudah berlagak menggelarkan diri sebagai ‘coffee lover’ hanya kerana mahu kelihatan pengikut trend. 

Kopi, Kamera, Konten 

Kita tidak boleh menafikan bahawa media sosial memainkan peranan besar dalam menormalisasikan budaya kopi sebagai satu aksesori ‘content’. Jadi, apa sahaja yang estetik dan berpotensi untuk meraih ‘like’ tinggi, secara automatik akan menjadi trend. Kafe yang berkonsep minimalis, cawan kertas berlogo mewah dan sudut pencahayaan,

kini menjadi keperluan utama dan bukan lagi rasa kopi yang enak atau suasana yang menenangkan. 

Ramai remaja hari ini lebih risaukan rupa cawan dan sudut tangkapan gambar berbanding rasa kopi itu sendiri. Pilihan kopi kadangkala dibuat bukan kerana suka, tetapi kerana nampak cantik di kamera. Kopi berwarna unik, dengan buih berbentuk daun atau bunga di atas permukaan, jauh lebih menarik untuk dimuat naik ke Instagram atau TikTok. Malah, ada yang sanggup membeli kopi semata-mata untuk mengambil gambar dan selepas itu kopi tersebut tidak habis diminum atau dibiarkan sejuk begitu sahaja. 

Minum kopi bukan lagi tentang ketenangan atau masa yang berkualiti dengan rakan-rakan tetapi lebih kepada urusan update story dengan filter estetik dan caption yang cliché. Ironinya, semasa mereka menikmati kopi itu pun, mata lebih tertumpu pada skrin telefon berbanding pada orang di hadapan atau rasa kopi itu sendiri. Hubungan sosial yang sepatutnya hangat kini digantikan dengan budaya "minum untuk konten", bukan untuk kenangan atau keselesaan bersama. 

Harga Kopi, Gaya Hidup atau Gaya-Gayaan? 

Persoalannya, adakah budaya minum kopi ini benar-benar mencerminkan gaya hidup sihat dan matang, atau sekadar gaya-gayaan semata-mata? Jika seseorang benar-benar menghargai kopi, dia akan tahu menilai rasa, memahami jenis biji kopi atau teknik penyediaan barista. Sepatutnya mereka yang meminum kopi adalah kerana menghargai seni dan budaya di sebalik secawan kopi, bukanlah sekadar kerana ia nampak ‘cool’ di media sosial. 

Namun begitu, apabila kopi hanya dilihat sebagai lambang status atau bahan untuk tayangan, nilai asalnya hilang begitu sahaja. Ramai yang kini menganggap masuk ke kafe mahal, memegang cawan berjenama, dan bergambar di sudut estetik adalah sebagai satu pencapaian sosial walaupun mereka tidak pun menikmati atau memahami apa yang mereka minum. Ada yang hanya memilih menu berdasarkan apa yang popular di TikTok atau Instagram, bukan kerana citarasa sendiri. Malah, tak kurang juga yang membeli kopi hanya untuk bergambar, kemudian membiarkan kopi itu sejuk tanpa dihirup pun sehingga habis. 

Lebih mengejutkan, terdapat remaja yang sanggup beratur panjang di kafe viral, menunggu lebih 30 minit hanya untuk secawan kopi berharga RM15–RM20. Harga itu dianggap berbaloi bukan kerana rasa, tetapi kerana nilai estetik yang boleh diperoleh daripadanya lebih-lebih lagi jika kafe itu sedang trending. Hal ini menunjukkan bahawa budaya minum kopi hari ini bukan lagi tentang keperluan atau minat tetapi tentang penampilan dan penerimaan sosial. Jadi, ini bukan soal minum tetapi soal trend.

Jadi, Salahkah Minum Kopi? 

Tidak salah. Minum kopi, ambil gambar atau pergi ke kafe viral, semua itu adalah pilihan peribadi dan hak masing-masing. Kehidupan moden sememangnya memberi ruang untuk kita menikmati pengalaman baru dan mengekspresikan diri melalui cara yang unik termasuklah melalui secawan kopi. Namun, apabila budaya ini mula menjadikan kita terlalu obses dengan penampilan semata-mata, terlalu sibuk membandingkan gaya hidup di media sosial dan mula memandang rendah pada orang yang tidak mengikut trend, maka disitulah masalahnya bermula. 

Kita perlu bertanya pada diri sendiri, adakah kita benar-benar menikmati kopi itu atau kita sekadar mahu dilihat menikmati? Jangan sampai kita jadi generasi yang lebih mementingkan rupa cawan daripada rasa kopi di dalamnya. Budaya yang sepatutnya menyeronokkan dan santai akhirnya menjadi tekanan sosial yang halus dan yang lebih menyedihkan, kita mungkin kehilangan kemampuan untuk benar-benar menghargai perkara kecil di dalam hidup kerana terlalu sibuk mengejar apa yang kelihatan ‘menarik’ di mata orang lain. 

Sedar dan Nikmati Dengan Jujur 

Kesimpulannya, budaya kopi hari ini mencerminkan cara anak muda menilai sesuatu dengan seringkali berdasarkan rupa, bukan isi. Bukan salah kopi, bukan salah kafe, tapi cara kita menikmati dan menilainya itu yang patut direnungkan. Kopi yang paling sedap bukanlah yang paling mahal atau paling banyak ‘like’ tetapi yang diminum dalam suasana yang tenang tanpa perlu berpura-pura. Jadi, tanya diri kita sekali lagi, adakah kita benar-benar minum kopi, atau kita cuma minum trend? 

Mengenai kami

Nadi Bangi adalah portal akhbar makmal Program Komunikasi Media, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sebarang pandangan atau kandungan yang disiarkan tidak mewakili UKM. Ditubuhkan dengan objektif untuk menjadi suara warga kampus, Nadi Bangi menyajikan laporan berita, rencana khas, serta pandangan kritis berkenaan isu semasa yang berlaku di dalam dan luar kampus.