Menari Minta Duit Raya Riang Sakan Atau Hilang Sopan?

7 APRIL 2025

Oleh: YASMIN AZIZAN

Penyunting: ZULAIKHA SIDEK

Menari sambil meminta duit raya, trend ini mula tular di media sosial terutama di TikTok sejak 1 Syawal lalu. - GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Trend tarian di TikTok ketika acara pemberian duit raya atau dikenali sebagai Penguin Dance mula tular di media sosial sejak 1 Syawal lalu, apabila individu dari pelbagai peringkat usia dari kanak-kanak hingga warga emas tidak mahu ketinggalan mengikut trend bersama saudara-mara di kampung, namun, beberapa individu mendakwa trend tarian itu sama seperti tarian tradisi kaum Yahudi.

Pada mulanya, ia dilihat sebagai hiburan, walaubagaimanapun, segelintir pihak termasuk tokoh agama menganggapnya sebagai tidak menghormati tradisi dan adab semasa Hari Raya Aidilfitri. 

Nadi Bangi sempat menemubual seorang pelajar universiti, Arif Naufal, 23, berkata trend ini kelihatan menyeronokkan tetapi jika tidak dikawal ia boleh menghakis nilai kesopanan.

“Trend tersebut memang nampak menghiburkan tetapi apabila orang dewasa juga turut menari di hadapan anak-anak, ia seolah-olah memberi mesej yang kurang sesuai sebab Hari Raya seharusnya masa untuk bermaaf-maafan bukan sekadar aksi TikTok semata-mata,” katanya.

Sementara itu, seorang bapa, Haslan Hussin, 55, menyuarakan kebimbangan terhadap normalisasi aksi sebegitu yang menurutnya hampir menyerupai perbuatan pengemis moden.

“Saya tengok sendiri budak-budak datang depan orang tua sambil goyang badan dan mungkin orang kata kelakar, tapi bagi saya itu tak manis malah kita dah mula terbiasa dengan budaya menunjuk untuk likes dan views,” katanya.

Dalam pada itu, berbeza pula pandangan pempengaruh TikTok, Aina Solehah, 18, yang merasakan trend ini hanya hiburan ringan semata mata.

“Asalkan tidak lucah atau menjolok mata, saya rasa tak salah sebab ini cara generasi muda ekspresikan diri jadi tak payah ambil serius sangat,” katanya yang mengaku dia sendiri ada melakukan video tarian tersebut bersama keluarganya.

Hasil semakan yang dilakukan oleh Nadi Bangi, ia merupakan Penguin Dance yang diamalkan oleh masyarakat di Albania, ada juga yang mendakwa ia berasal dari Finland di mana diberi gelaran Letkajenkka, namun kami belum menjumpai sumber yang  menyokong dakwaan tersebut.

Mengenai kami

Nadi Bangi adalah portal akhbar makmal Program Komunikasi Media, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sebarang pandangan atau kandungan yang disiarkan tidak mewakili UKM. Ditubuhkan dengan objektif untuk menjadi suara warga kampus, Nadi Bangi menyajikan laporan berita, rencana khas, serta pandangan kritis berkenaan isu semasa yang berlaku di dalam dan luar kampus.