Kek Lapis Premium: Inovasi yang mengangkat atau meminggirkan?

6 APRIL 2025

Oleh: QURRATU AIN BUJANG

Penyunting:  LUQMAN HAKIM ZULKIFLI 

Kek Lapis Black Royale Truffle. | Sumber: Facebook Abg K’ju Cake House

Di Sarawak, sudah menjadi satu tradisi dalam kalangan masyarakat untuk memeriahkan meja jamuan dengan pelbagai jenis kek lapis menjelang sambutan lebaran. Walaupun pembuatan kek lapis tradisional boleh dikira rumit, ada yang sanggup bersengkang mata mengadun ramuan bagi menghasilkan berloyang-loyang kek lapis demi menyantap tetamu di hari Aidilfitri. Kek lapis bukanlah sekadar hidangan, tetapi juga simbol kemeriahan dan kesungguhan dalam meraikan perayaan. Namun pada era moden kini, tradisi ini seakan mengalami transisi dengan munculnya fenomena “kek tunjuk”, iaitu kek yang dibeli daripada pembekal, mengurangkan usaha pembuatan sendiri di rumah. 

Ianya bukanlah sesuatu yang buruk atau dianggap masalah kerana aksesibiliti kepada pelbagai jenis kek lapis adalah setimpal dengan keperluan pembeli dengan harga sekitar RM90-RM200 seloyang mengikut tahap ekslusiviti sesuatu kek itu.

Sehinggalah tahun lalu, kek lapis hasil inovasi baharu, Kek Lapis Baklava rancak menjadi buah mulut di media sosial kerana dianggap sangat mahal dengan harga RM650 seloyang. Keunikan kek yang turut dijual dalam saiz gigitan (bite-sized) dengan harga RM4.50 ini terletak pada penggunaan bahan premium dan cara pembuatannya yang sangat teliti. Walaupun ia mendapat pujian kerana kelazatannya, harganya yang tinggi mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen, terutama mengenai nilai dan aksesibiliti kek tersebut kepada umum. Menjawab kritikan tersebut, pengasas resepi kek itu, Abg K’ju Cake House yang bertapak di Kota Samarahan, Sarawak tampil dengan berani berkongsi resepi melalui hantaran di laman Facebook. Pihak Abg K'ju Cake House menjelaskan bahawa bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan Kek Lapis Baklava adalah bahan berkualiti tinggi dan proses pembuatannya sangat memakan masa dan memerlukan perhatian yang teliti. Penjelasan mereka sedikit sebanyak telah menimbulkan reaksi positif kerana berjaya membuktikan bahawa harga yang ditetapkan adalah wajar dan setanding dengan kualiti yang dihasilkan. 

Namun begitu, tahun ini Abg K’ju Cake House kembali lagi dengan sebuah inovasi kek lapis yang cukup layak digelarkan sebagai “karya” dengan harganya yang mencecah RM1700 seloyang. Kek lapis yang diberi nama Black Royale Truffle ini dihasilkan dengan ramuan berkualiti tinggi seperti coklat jenis Premium Couverture, yang dikatakan dapat mengangkat profil rasa coklat ke tingkat yang lebih tinggi, menjadikan setiap suapan begitu istimewa dan memikat selera. Selain daripada bahan premium, Abg K’ju Cake House turut menekankan aspek idea, originaliti, kreativiti, dan inovasi dalam penciptaan resepi kek ini juga diambil kira dalam meletak harganya. Setiap lapisan kek bukan sahaja dibina dengan teknik yang teliti, tetapi juga berasaskan konsep yang memadukan tradisi dan kemewahan rasa coklat truffle yang berasal daripada Perancis. Dengan harga yang agak tinggi, kek ini bukan sahaja menawarkan rasa yang luar biasa, tetapi juga menampilkan seni dalam pembuatannya, menjadikannya lebih daripada sekadar juadah tetapi juga karya seni yang mempamerkan dedikasi dan keahlian dalam dunia pembuatan kek lapis Sarawak. 

Sejujurnya inovasi dalam dunia kek lapis yang memberi nafas baharu layak dipuji, namun kebimbangan timbul apabila harga kek lapis premium kian melonjak saban tahun. Walaupun menggunakan bahan-bahan premium dan teknik pembuatan yang teliti, harga yang begitu tinggi boleh menghalang kebanyakan orang daripada menikmati kek lapis, yang dahulu dianggap sebagai simbol kemeriahan yang boleh dinikmati semua lapisan masyarakat. Kek lapis sepatutnya menjadi satu medium untuk merapatkan hubungan dalam perayaan, tetapi dengan harga yang melambung, ia mengasingkan mereka yang tidak mampu dan hanya meninggalkan golongan berkemampuan untuk menikmati tradisi ini. 

Bagi memastikan kek lapis tetap relevan tanpa mengabaikan akar tradisinya, keseimbangan antara inovasi dan aksesibiliti perlu dicapai. Keistimewaan sesebuah kek lapis tidak seharusnya diukur berdasarkan harga, tetapi pada rasa dan semangat yang disalurkan dalam setiap lapisannya. Jika harga terus dijadikan ukuran untuk mencipta karya seni Kek Lapis Sarawak, ada risiko kek lapis asli yang meriah dan mesra rakyat akan hilang. Perayaan seharusnya diraikan bersama tanpa mengira status atau kemampuan, dan tradisi ini harus dipelihara tanpa terperangkap dalam perlumbaan untuk menghidangkan kek yang paling mewah. 

Selain itu, dengan pengaruh inovasi yang menghasilkan resepi seperti Kek Lapis Fattzura, Kek Lapis Godiva, Kek Lapis Milosaurus, dan lain-lain, kek lapis tradisional semakin kurang mendapat perhatian sebagai hidangan utama di hari raya. Kek-kek resepi warisan seperti Kek Pilih Kasih, Kek Lapis Masam Manis, Kek Batu Marmar, dan Kek Lumut kini berisiko dilupakan, terpinggir oleh arus moden yang semakin berkembang. Dalam usaha untuk menginovasikan, kita tidak seharusnya melupakan nilai dan keunikan resepi turun-temurun yang telah menjadi identiti orang Sarawak sejak berzaman yang lalu. Walaupun unsur estetika dan pembaharuan penting, kita harus berhati-hati agar jangan sampai elemen tradisional ini terhapus begitu sahaja. Kek lapis yang menjadi lambang kasih sayang dan tradisi keluarga seharusnya dipelihara, bukan sekadar diubah suai demi kemewahan dan penampilan. Oleh itu, dalam usaha meneruskan inovasi, kita juga perlu memastikan bahawa resipi lama tetap hidup dan dihargai, kerana ia adalah sebahagian daripada warisan yang membentuk budaya kita. 

Maka, dalam keterujaan mencipta kek lapis berwajah baharu yang lebih estetik dan mewah, penting untuk diingat bahawa nilai sesuatu juadah tradisi tidak semata-mata terletak pada keunikan bahan atau ketelitian penyediaannya, tetapi juga pada aksesibiliti kepada semua yang ingin menikmatinya. Kek lapis yang dulunya sinonim dengan kemesraan perayaan kini perlahan-lahan berubah menjadi lambang cita rasa elit, dan di sinilah letaknya cabaran sebenar — bagaimana inovasi dapat terus diraikan tanpa menghakis semangat kolektif yang menjadikan kek lapis sebahagian daripada identiti budaya. Mengangkat martabat kek lapis tidak seharusnya bermaksud mengasingkan golongan yang selama ini menjadi penyokong setianya. Sebaliknya, ia harus berkembang dalam ruang yang menyatukan, menyulam kreativiti dengan nilai kebersamaan, agar kek lapis kekal sebagai simbol warisan yang meriah, bukan sekadar sebagai pencapaian eksklusif yang hanya mampu dikagumi dari jauh.

Mengenai kami

Nadi Bangi adalah portal akhbar makmal Program Komunikasi Media, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sebarang pandangan atau kandungan yang disiarkan tidak mewakili UKM. Ditubuhkan dengan objektif untuk menjadi suara warga kampus, Nadi Bangi menyajikan laporan berita, rencana khas, serta pandangan kritis berkenaan isu semasa yang berlaku di dalam dan luar kampus.