Dominasi Ikan Asing Ibarat Bom Jangka di Sungai Malaysia 

Oleh: ZULAIKHA SIDEK

Penyunting: YASMIN AZIZAN

Ikan Bandaraya merupakan salah satu spesies ikan asing yang ditemui dalam Sungai Kuyoh, Bukit Jalil - Foto BERNAMA

“Bagai api dalam sekam”. Perumpamaan ini menggambarkan bagaimana kehadiran spesies ikan asing seperti ikan bandaraya, ikan keli afrika, ikan peacock bass, ikan baung ekor merah, ikan tilapia dan banyak lagi di dalam sungai-sungai Malaysia ini dilihat sebagai fenomena yang biasa-biasa sahaja, namun hakikatnya ia kini menjadi bom jangka yang mengancam kestabilan ekosistem semula jadi kita. 

Cuba bayangkan jika 10 puluh tahun akan datang seluruh sungai di Malaysia dipenuhi spesies ikan asing sahaja, keadaan ini boleh menyebabkan populasi hidupan air asli merosot secara drastik dan ketika itulah, kemungkinan usaha yang boleh kita lakukan untuk mengatasi masalah ini akan menjadi semakin tipis. 

Bahaya Ikan Asing 

Krisis ini dilihat sebagai satu bencana besar yang sememangnya membimbangkan, apabila hidupan air asli di sungai-sungai sekitar Lembah Klang turut dijangka bakal

pupus apabila terdapat 80 peratus sungai di kawasan itu telah dicerobohi oleh spesies ikan asing ini. Menurut artikel berita Sinar Harian pada 26 Mei 2024, Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain menyatakan bahawa, tangkapan ikan di Sungai Kuyoh, Bukit Jalil mendapati 99 peratus terdiri daripada ikan asing, majoritinya ialah ikan bandaraya atau pleco dan tilapia. Berdasarkan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), spesies ikan asing atau ikan pemangsa (invasif) ini mula mengancam populasi ikan tempatan seperti ikan kelah, temoleh, jelawat, lampam, tengalan, kerai, terbul, sebarau, baung serta udang galah yang sekian lama mendiami perairan berkenaan. 

Ikan asing ini juga dikatakan lebih mudah membiak berbanding ikan asli kerana setiap kali membiak, jumlah telurnya amat banyak. Lebih membimbangkan, apabila ikan bandaraya ingin bertelur, ia akan menggali lubang di tebing-tebing sungai dan kemudian bertelur di situ dan akibatnya, tebing-tebing sungai mula terhakis ekoran daripada lubang-lubang tersebut, sekaligus merosakkan ekosistem sungai dalam jangka masa panjang. Menurut Pengarah Perikanan Selangor, Noraisyah Abu Bakar menerusi artikel Bernama pada 18 Mei 2024, beberapa sungai yang dikesan menjadi habitat kepada spesies ikan asing ini termasuklah Sungai Klang, Sungai Langat, Sungai Selangor dan Sungai Bernam selain di beberapa tasik juga kolam takungan. Persoalannya, apakah tindakan kita? 

Usaha Atasi Lambakan Ikan Asing 

Masyarakat kini dilihat telah turun padang berganding bahu bersama pihak kerajaan dalam usaha menghapuskan spesies ikan asing sebelum keadaan menjadi semakin parah. Sebuah program berstruktur telah dilaksanakan oleh Jabatan Perikanan Malaysia dengan kerjasama Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya serta agensi-agensi lain, melibatkan aktiviti menjala ikan di Sungai Kuyoh, Bukit Jalil. Menurut laporan Sinar Harian pada 26 Mei 2024, hasil daripada kaedah menjala tersebut mendapati lebih 600 ekor ikan asing seberat 400 kilogram (kg) telah ditemui di sungai itu, manakala hanya dua ekor sahaja ikan asli sahaja berjaya dikesan sepanjang program berlangsung.

Selain itu, kempen kesedaran yang berterusan dan bersifat inklusif perlu diperluaskan, bukan sahaja melalui media sosial tetapi juga menerusi pendekatan berasaskan komuniti seperti taklimat di pusat komuniti dan melalui aktiviti sukarelawan. Golongan muda pula harus diberikan pendedahan awal tentang kepentingan mengekalkan keseimbangan ekosistem air tawar, kerana merekalah yang bakal menjadi pemimpin dan penjaga alam sekitar pada masa hadapan. 

Dalam masa yang sama, kempen ini juga dapat membantu masyarakat untuk menyumbang tenaga mereka dalam memastikan spesies ikan asing tidak terus menguasai sungai-sungai kita. Hakikatnya, masih ramai yang tidak sedar bahawa melepaskan ikan peliharaan seperti ikan bandaraya ke dalam sungai boleh menyebabkan ketidakseimbangan ekosistem. Namun begitu, perlakuan ini masih dilakukan tanpa rasa bersalah, kononnya atas dasar kasihan atau kepercayaan bahawa melepaskan ikan-ikan ini ke dalam sungai akan memberi pahala.. Justeru, kita berharap agar kempen-kempen sebegini dapat dilaksanakan dengan lebih luas bagi membuka mata masyarakat dalam usaha menstabilkan semula ekosistem di negara. 

TIdak dipandang remeh 

Isu ikan asing di sungai-sungai Malaysia bukan lagi perkara kecil yang boleh di pandang ringan. Konflik ini adalah benar dan masih lagi berlaku hingga ke hari ini. Jika tiada tindakan tegas diambil, kesannya akan berlarutan termasuklah ancaman terhadap spesies tempatan, hakisan tebing sungai, ketidakseimbangan dalam rantai makanan, serta kerugian ekonomi terhadap industri perikanan. Situasi ini akan terus memburuk, justeru semua pihak perlu mainkan peranan masing-masing demi menyelamatkan sungai-sungai kita daripada terus dicerobohi oleh spesies ikan asing ini. 

Jika kita hanya menunggu dan membiarkan isu ini berlarutan tanpa sebarang tindakan, maka tidak mustahil suatu hari nanti, generasi akan datang hanya akan mengenali ikan tempatan melalui gambar di dalam buku atau internet sahaja. Maka, pilihan kini terletak di tangan sama ada untuk bertindak sekarang atau menyesal di kemudian hari.


Mengenai kami

Nadi Bangi adalah portal akhbar makmal Program Komunikasi Media, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sebarang pandangan atau kandungan yang disiarkan tidak mewakili UKM. Ditubuhkan dengan objektif untuk menjadi suara warga kampus, Nadi Bangi menyajikan laporan berita, rencana khas, serta pandangan kritis berkenaan isu semasa yang berlaku di dalam dan luar kampus.