
Cabaran UPRS Dalam Menangani Isu Kebajikan Pelajar
Oleh: SYAHERAH AZMI
Penyunting: AINUR KHAIRUNNISA ZULKIFLI
Akhir kalam, kekuatan UPRS terbina daripada cabaran yang mereka hadapi dalam mengurus organisasi. Meskipun berada dalam persekitaran kaunseling, mereka juga berjuang mengurus emosi dan tanggungjawab yang tidak semua orang sedar. Di sebalik kelab yang mungkin tampak kecil, tersembunyi peranan besar dalam menjaga kesejahteraan pelajar. Timbalan Presiden UPRS juga berharap agar kelab ini terus berkembang dan dikenali hingga ke peringkat kebangsaan melalui jaringan Pembimbing Rakan Siswa Kebangsaan (PRSK).
Urusetia Pembimbing Rakan Siswa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UPRS UKM) - Foto Media UPRS
UPRS merupakan sebuah kelab berdaftar di bawah naungan Unit Kaunseling di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kelab ini terdiri daripada barisan pelajar serta dipantau oleh barisan penasihat yang merupakan Kaunselor UKM. Urusetia ini memainkan peranan besar dalam membantu Unit Kaunseling untuk menjadi penghubung antara pelajar dengan kaunselor. Dalam erti kata lain, merekalah barisan pertama yang akan menjadi pendengar buat pelajar yang memerlukan sokongan sekiranya berhadapan dengan tekanan atau masalah kesejahteraan mental serta emosi.
Berdasarkan laporan artikel berita Harian Metro, ramai pelajar universiti yang tertekan disarankan untuk berjumpa dengan kaunselor. Namun begitu, kebanyakan pelajar di universiti termasuklah UKM, tidak mengetahui bagaimana cara untuk mendapatkan perkhidmatan kaunseling walaupun ia adalah percuma. Tambahan lagi, perkhidmatan ini ditawarkan oleh kaunselor dan pakar psikologi yang bertauliah serta berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia (LKM). Walaupun UPRS UKM merupakan antara
kelab terpenting dalam memberikan bantuan asas kaunseling kepada pelajar di universiti, namun ia menjadi satu cabaran utama kepada mereka apabila masih terdapat pelajar yang tidak mengetahui kewujudan kelab ini.
Menurut Timbalan Presiden UPRS, Nurul 'Ain Abd Mobin berkata, menjadi penghubung antara pelajar dan kaunselor bukan suatu hal yang mudah kerana isu kepercayaan masih wujud. Ada pelajar mengalami trauma kerana pernah berkongsi masalah dengan kaunselor, tetapi maklumat peribadi mereka disebarkan hingga menjadi bualan umum. Insiden seperti ini menjejaskan kepercayaan pelajar terhadap kaunselor, sekali gus menyukarkan peranan UPRS. Namun, meskipun pernah melalui pengalaman serupa, mereka tetap komited menjalankan amanah yang diberi.
Urusetia Pembimbing Rakan Siswa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UPRS UKM) - Foto Media UPRS
Walau bagaimanapun, cabaran-cabaran ini sedikit sebanyak dapat diatasi melalui sokongan moral oleh rakan seperjuangan dalam kelab yang sentiasa memahami antara satu sama lain. Nurul ‘Ain Abd Mobin turut berkongsi pengalamannya sepanjang 2 tahun memimpin UPRS, masalah dalam pengurusan organisasi seperti perselisihan persefahaman, masalah komunikasi, isu kekeluargaan atau persahabatan, masalah pembelajaran, bahkan apa-apa bentuk masalah yang melibatkan tekanan mental dan emosi sentiasa dapat diselesaikan kerana penganjuran program oleh UPRS yang sering kali memberi solusi.
Ramai menganggap barisan UPRS sentiasa positif dan dekat dengan kaunselor kerana berada dalam persekitaran yang sama. Namun realitinya, tidak semua UPRS berani atau sempat mendapatkan kaunseling. Mereka enggan menambah beban kaunselor dan sedar harapan untuk menjadi contoh kepada pelajar lain. Justeru, mereka lebih selesa saling menyokong sesama sendiri, melatih diri menjadi pendengar yang baik walaupun kadangkala perlu memendam perasaan sendiri.
Menurut Nurul ‘Ain Abd Mobin, pelaksanaan program oleh kelab UPRS sememangnya sedikit sebanyak menyebabkan golongan pembimbing ini berasa tertekan apabila berlakunya lambakan kerja serta perselisihan persefahaman. Kesibukan melampau terhadap penganjuran program turut memberikan impak kepada prestasi akademik serta pengurusan masa mereka dalam kehidupan seharian. Di sebalik kejayaan program yang dianjurkan, terdapat banyak penat lelah dan konflik yang perlu dilalui oleh UPRS. Bagi merealisasikan program yang dapat membantu menangani isu kesihatan mental dalam kalangan pelajar universiti, mereka harus mengetepikan emosi sendiri.
Antara program yang berjaya dianjurkan UPRS setiap tahun dan menjadi kayu pengukur kepada kekuatan di sebalik cabaran pembimbing ini adalah seperti “Aku Berhak Bahagia”, “Kursus Asas Kaunseling”, serta “Riadah Santai”. Kesemua program ini banyak memberikan impak positif kepada pelajar universiti melalui perkongsian tips, motivasi, dan aktiviti berbentuk santai. UPRS juga tidak ketinggalan dalam melaksanakan tanggungjawab sosial melalui aktiviti kemasyarakatan seperti program “Jelajah Sukarelawan UPRS di Terengganu” yang telah menerima Tempat Kedua bagi kategori Anugerah Program Kemanusiaan Terbaik dalam Majlis Anugerah Tokoh Siswa, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Program Jelajah Sukarelawan UPRS di Terengganu - Foto : Media UPRS
Akhir kalam, kekuatan UPRS terbina daripada cabaran yang mereka hadapi dalam mengurus organisasi. Meskipun berada dalam persekitaran kaunseling, mereka juga berjuang mengurus emosi dan tanggungjawab yang tidak semua orang sedar. Di sebalik kelab yang mungkin tampak kecil, tersembunyi peranan besar dalam menjaga kesejahteraan pelajar. Timbalan Presiden UPRS juga berharap agar kelab ini terus berkembang dan dikenali hingga ke peringkat kebangsaan melalui jaringan Pembimbing Rakan Siswa Kebangsaan (PRSK).
Mengenai kami
Nadi Bangi adalah portal akhbar makmal Program Komunikasi Media, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sebarang pandangan atau kandungan yang disiarkan tidak mewakili UKM. Ditubuhkan dengan objektif untuk menjadi suara warga kampus, Nadi Bangi menyajikan laporan berita, rencana khas, serta pandangan kritis berkenaan isu semasa yang berlaku di dalam dan luar kampus.