BISSU, PENGHUBUNG DUNIA NYATA DAN ALAM ROH 

Oleh:  MASMIRA JEFRI

Penyunting: SYAKIRAH FAUZI

Gambar bissu menghadiri sebuah majlis perkahwinan di Soppeng, Sulawesi Selatan (sumber : Reny Sri Ayu Arman, Kompas.id)

Bissu yang pertama dipercayai turun ke bumi untuk menjadi penghubung di antara makhluk bumi dan dewa ataupun Tuhan. Beberapa abad dahulu bissu dipercayai sebagai satu sosok yang mempunyai kesucian dan menjadi titik tengah (penyeimbang) di antara lelaki dan perempuan. Bissu sendiri menjadi lambang ataupun simbol spiritual masyarakat Bugis. Berdasarkan kepercayaan masyarakat suku Bugis kuno di bahagian Sulawesi, terdapat 5 jantina iaitu urane (lelaki), makkunrai (perempuan), calalai (wanita yang kelihatan seperti lelaki), calabai (lelaki yang kelihatan seperti wanita) dan bissu (campuran di antara lelaki dan wanita). 

PEMILIHAN BISSU 

Bissu boleh dilantik daripada golongan calabai melalui beberapa acara adat dan difahamkan tidak semua calabai boleh dilantik melainkan mereka yang mendapat ‘petunjuk’ melalui mimpi. Calabai perlu melalui proses ‘irebba’ (dibaringkan) di bahagian loteng depan rumah. Calabai perlu untuk berpuasa selama 40 hari dan melakukan ‘mattinja’ (bernazar) sebelum melakukan irebba. Sepanjang tempoh mattinja, calabai perlu menulis dan fasih melafazkan ‘Sureq Galigo’ (rajah huruf bugis) kerana akan digunakan dalam tugasnya sebagai bissu kelak. 

Pada hari terakhir irebba, calabai akan dimandikan, dikafankan dan dibaringkan sehari suntuk sehingga waktu senja. Sepanjang proses irebba, guci (buyung yang dibuat daripada tembikar) yang diisi air suci akan digantung di atas tubuh calabai dan dilantunkan bacaan Sureq Galigo. Apabila tiba waktu senja, guci tersebut akan disiramkan ke atas calabai dan sempurnalah

proses seorang calabai menjadi bissu. Namun, jika pada malam irebba hujan tidak turun dengan lebat maka proses irebba harus diulang semula. Hal ini kerana, hujan menandakan persetujuan para dewa atas pelantikan calabai itu sebagai bissu. 

PERANAN BISSU 

Gambar seorang bissu sedang melaksanakan tari ‘Maggiri’ (sumber : kalaliterasi.com)

Pada zaman dahulu, bissu memainkan peranan yang sangat penting dalam acara keramaian ataupun acara adat masyarakat bugis seperti pelantikan raja ataupun kelahiran. Beberapa acara adat akan dilakukan seperti ‘Tari Mabbissu’ di mana para bissu akan menari mengelilingi satu benda yang dianggap sakral (tempat roh leluhur berehat). Puncak kepada tari ini adalah ‘Maggiri’ iaitu menusukkan keris ke beberapa bahagian badan bissu seperti mata, leher dan perut. Boleh dikatakan hampir semua acara adat akan dihadiri ataupun dipimpin oleh bissu. Masyarakat percaya bahawa bissu adalah penghubung mereka untuk memohon keberkatan kepada Tuhan. Selain acara adat, bissu juga dilibatkan dalam proses seperti pertanian. Menurut kepercayaan, bissu boleh meramal hari yang baik untuk menabur benih pertama dan selalunya dilakukan sendiri oleh bissu kerana masyarakat yakin hasil tanaman mereka akan lebih baik. 

BISSU DAN AJARAN ISLAM 

Namun hilangnya bissu bermula semasa pergolakan Darul Islam/Tentera Islam Indonesia pada tahun 1950-an. Gerakan ini menginginkan Indonesia untuk berdiri sebagai negara yang berpandukan kepada ajaran Islam. Pada ketika itu, banyak peralatan acara adat ataupun ritual yang dibakar dan para bissu serta ‘sanro’ (dukun dalam masyarakat bugis) dibunuh. Gerakan ini melihat para bissu sebagai komuniti atau golongan yang tidak berpandu kepada ajaran Islam. Ramai antara mereka yang bersembunyi dan ada yang terus tidak memunculkan diri.

Namun, pada hari ini masih terdapat sesetengah acara adat yang melibatkan bissu meskipun sudah tidak sebanyak dahulu. 

Persoalannya, adakah adat seperti ini perlu untuk terus dihidupkan demi menjaga identiti masyarakat Bugis itu sendiri? 

Kepercayaan ataupun adat seperti ini memang selayaknya hanya tinggal menjadi sejarah untuk tontonan masyarakat generasi sekarang. Namun, tidak kurang pentingnya untuk memahami dan mempelajari sejarah kuno nenek moyang yang terdahulu. Meskipun begitu, cukup sekadar untuk menelusuri satu aspek besar yang menjadi simbol dan jati diri kepada masyarakat suku Bugis. Elemen mistik dan kepercayaan yang dikaitkan dengan bissu secara jelas bertentangan dengan ajaran agama Islam itu sendiri. Kepercayaan terhadap dewa dan ilmu kebal bukanlah pegangan yang tepat untuk dijadikan sandaran. Sama seperti fahaman bahawa terdapat lebih daripada 2 jantina yang perlu diterima oleh masyarakat. Fahaman liberal seperti ini tidak seharusnya bercambah dan perlu untuk ditentang sekeras-kerasnya. Kepelbagaian jantina bukanlah sesuatu yang perlu untuk dinormalisasikan dalam masyarakat. Penting untuk kita mempelajari sejarah yang terdahulu bagi mengelakkan perkara yang sama berulang lagi.



Mengenai kami

Nadi Bangi adalah portal akhbar makmal Program Komunikasi Media, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sebarang pandangan atau kandungan yang disiarkan tidak mewakili UKM. Ditubuhkan dengan objektif untuk menjadi suara warga kampus, Nadi Bangi menyajikan laporan berita, rencana khas, serta pandangan kritis berkenaan isu semasa yang berlaku di dalam dan luar kampus.